Jabatan Muzium Malaysia – 002
Jabatan Muzium Malaysia memiliki koleksi telepuk yang terdiri daripada pelbagai genre permukaan, iaitu telepuk di atas permukaan limar, kain bugis dan kain tenun tidak beragi. Terdapat pelbagai susun atur motif telepuk yang membentuk corak pada koleksi telepuk milik Jabatan Muzium Malaysia; antaranya susun atur berbentuk teluk berantai, dan bunga tabur. Manakala bagi selendang limar bertelepuk, telepuk dihiasi dan dibuat pada bahagian punca kain.
Kepelbagaian sampel ini membolehkan mana-mana penyelidik mengkaji dengan lebih mendalam di bawah satu bumbung. Majoriti telepuk yang dimilki oleh Jabatan Muzium Malaysia berada dalam keadaan amat baik, dan kerja-kerja konservasi dan penyimpanan yang baik membolehkan kain-kain telepuk ini kekal indah dan sesuai untuk dikaji oleh penyelidik pada masa akan datang.