

Kain-kain telepuk yang dimiliki oleh Tuan John Ang terdiri daripada; dua helai kain sarung dan sehelai kain panjang. Sehelai daripada kain sarung dan kain panjang itu merupakan sepasang, ia bernatar biru muda dan kain yang kedua ialah kain tenun sutera polos. Kain panjang bertelepuk berkenaan ditelepuk indah dengan motif-motif flora seperti motif pucuk rebung pada bahagian punca kain manakala pada bahagian badan kain dihias dengan susur atur teluk berantai.
Sehelai lagi sarung telepuk pula ialah kain tenun Bugis beragi yang mana kualiti gerusnya amat cemerlang dan kualiti telepuk pula masih berada pada tahap yang amat baik. Kualiti kain yang digerus dan ditelepuk berada pada tahap yang amat baik, juga dapat dilihat ia dibuat dengan kemas dan tertib.
Kesemua koleksi yang dimiliki oleh Tuan John Ang berada dalam kondisi yang sangat baik. Kami difahamkan oleh pemilik bahawa ketiga-tiga helai kain telepuk tersebut berasal dari Terengganu.