

Kain telepuk yang dimiliki oleh Tuan Wan Manang ialah kain sarung tenun Bugis bergerus dan beragi. Kainnya bernatar hitam gelap, walaupun kesan telepuk hampir pudar, motif-motif flora yang terdapat pada kain masih boleh dilihat. Uniknya koleksi ini ialah kaedah reka corak telepuk yang disusun membentuk tapak catur, yakni seakan satu pengulangan kepada corak ragi yang wujud pada kain tenun Bugis. Kami difahamkan oleh pemilik bahawa kain telepuk tersebut berasal dari tempat kelahiran beliau iaitu Terengganu. Secara amnya, kondisi kain berada pada tahap yang baik.