Muzium Negeri Terengganu – 001
Muzium Negeri Terengganu memiliki koleksi telepuk yang terdiri daripada pelbagai sampel permukaan, antaranya batik import, limar, dan kain tenun Bugis. Kepelbagaian ini menjadikan koleksi Muzium Negeri Terengganu sangat istimewa dan mampu memperkayakan maklumat mengenai khazanah telepuk yang telah hilang.
Penyelidik dan penulisan terdahulu acap kali mengaitkan pembuatan telepuk di atas permukaan kain tenun Bugis beragi dan bernatar gelap, namun demikian hal ini dapat dibuktikan sebaliknya apabila Muzium Negeri Terengganu mengeluarkan koleksi-koleksi kain telepuk pada kain tenun halus (sutera) tanpa ragi. Proses untuk membuat telepuk di atas permukaan tanpa ragi adalah lebih rumit. Hal ini demikian kerana, untuk memastikan telepuk dapat dihasilkan dengan kemas dan teratur susunannya, kain perlu dilipat bagi mendapatkan kesan garis untuk dijadikan panduan ketika menelepuk.
Selain daripada itu, Muzium Negeri Terengganu juga memiliki pelbagai bentuk busana yang ditelepuk, antaranya ialah baju belah, baju teluk belanga, tanjak dan beberapa sampel telepuk yang dibuat di atas kain batik import dari Lasem dan Jambi (Telepuk Dato’ Seri Amar Diraja). Muzium Negeri Terengganu juga memiliki koleksi yang agak luar biasa. Pada kebiasaannya telepuk dikatakan dibuat pada permukaan kain berwarna gelap bagi menimbulkan kesan perada emas pada permukaan kain tersebut. Hal ini dibuktikan sebaliknya, salah satu koleksi helaian telepuk yang mereka miliki dibuat di atas kain tenun berwarna putih gading yang dimiliki oleh Almarhum Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin sendiri. Kesemua koleksi yang diberi peluang untuk dikaji berada dalam kondisi yang sangat baik dan amat sesuai sebagai bahan kajian.